Saturday 22 March 2014

RPI YANG IDEAL


AMALAN RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU YANG IDEAL

Setiap kanak-kanak sekolah yang mengikuti atau menerima pendidikan khas dan perkhidmatan yang berkaitan mesti mempunyai Program Pendidikan Individual (RPI). Setiap RPI perlu direka untuk seorang pelajar/murid dan mesti menjadi dokumen yang benar-benar individu. RPI mewujudkan peluang untuk guru-guru, ibu bapa, pentadbir sekolah, kakitangan perkhidmatan yang berkaitan dan pelajar (di mana sesuai) untuk bekerja bersama-sama untuk meningkatkan hasil pendidikan bagi kanak-kanak bekeperluan khas. RPI adalah asas pendidikan yang berkualiti bagi anak bekeperluan khas.





Untuk membuat RPI berkesan, ibu bapa, guru, kakitangan sekolah yang lain perlu berbincang bersama-sama untuk melihat dengan teliti keperluan unik pelajar. Individu-individu berpengetahuan, berpengalaman mempunyai komitmen untuk mereka bentuk satu program pendidikan yang akan membantu pelajar itu terlibat dalam aktiviti sekolah, kokurikulum dan kurikulum umum. Malah RPI sebenarnya membantu ibu bapa dan guru-guru merancang satu proses peningkatan untuk peningkatan kendiri terutamanya dari segi pengurusan diri serta tingkah laku.

Langkah umum dalam proses penulisan RPI:

1.    Kanak-kanak yang dikenal pasti mungkin memerlukan pendidikan khas dan perkhidmatan yang berkaitan.
2.    Kanak-kanak dinilai.
3.    Kelayakan diputuskan.
4.    Anak didapati layak untuk perkhidmatan.
5.    Mesyuarat RPI dijadualkan.
6.    Mesyuarat RPI diadakan dan RPI ditulis dengan persetujuan terutamanya ibu bapa/penjaga dan guru.
7.    Perkhidmatan disediakan-perlaksanaan aktiviti/strategi.
8.    Kemajuan diukur dan dilaporkan kepada ibu bapa.
9.    RPI disemak.
10.                  Kanak-kanak dinilai semula.
11.                  Proses penulisan semula RPI bagi peningkatan perkembangan individu
11.1     untuk mengubahsuai pendekatan untuk objektif yang tidak dicapai
11.2     aktiviti/strategi berbeza untuk objektif berbeza




Jawatankuasa RPI

Secara ideal Jawatankuasa mesti terdiri daripada:
1.    Ibu bapa/penjaga murid
2.    Guru Pendidikan Khas terutamanya guru yang membimbing murid
3.    Guru Aliran Perdana
4.    Kaunselor sekolah
5.    Guru Besar/Pengetua
6.    Pakar seperti doktor kanak-kanak, ‘speech therapist’ dan ‘physiotherapist’. Sekurang-kurangnya seorang pakar berkaitan perubatan murid

Ahli jawatankuasa akan berkongsi maklumat dan bekerjasama untuk menulis RPI kanak-kanak. Setiap ajk berfungsi untuk meningkatkan pemahaman jawatankuasa mengenai murid dan perkhidmatan atau aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak.

MENULIS RPI

Penulisan RPI adalah berdasarkan keperluan utama murid. Keutamaan keperluan murid diberikan kepada:
1.    Pengurusan diri
2.    Pengurusan Tingkah Laku
3.    Akademik

Akademik pula disusun mengikut subjek. Subjek utama ialah:
1.    Bahasa Melayu
2.    Matematik
3.    Bahasa Inggeris


Apakah yang berlaku jika terdapat ibu bapa yang mahukan anaknya pandai membaca ABC sedangkan anaknya masih memakai lampin ke sekolah?

Kekeliruan yang sering berlaku kepada guru pendidikan khas. Guru menyarankan strategi atau objektif berbeza dengan kehendak ibu bapa/penjaga. Sebenarnya masalah sebegini tidak akan timbul, jika perlaksanaan RPI adalah betul-perbincangan dibuat, perancangan dan keputusan diputuskan bersama. Namun begitu, guru-guru boleh berbincang secara baik dengan ibu bapa serta cuba menyampaikan hasrat secara positif dengan tujuan mendidik. Ibu bapa/penjaga juga perlu difahamkan bahawa RPI tidak akan berkesan jika tiada kesinambungan di rumah. Segala perancangan perlu mendapat kerjasama di kedua-dua belah pihak. Komunikasi!

Oleh itu sangat penting bagi ibu bapa/penjaga hadir ke sekolah apabila dijemput untuk sesi perbincangan atau majlis Pemuafakatan.

“Kecemerlangan insan istimewa, kecaknaan kita semua”.











No comments:

Post a Comment