Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Ada yang
berpendapat, ini kerana pada ketika itu, bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah
kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di padang pasir. Ada pula yang
berpendapat ia membawa maksud pemisah kerana Syaaban adalah pemisah antara
bulan Rejab dan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan
Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”
Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang
banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang
penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk
kita meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam
cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa
kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain
adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan
keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan
Allah Taala ke atas makhlukNya.”
NISFU SYAABAN
Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang
penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini,
doa menjadi sangat mustajab.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan
malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati
mati ketika itu.”
Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan
membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib.
▪
Bacaan pertama diniatkan mohon panjangkan
umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya.
▪
Bacaan kali keduanya dengan diniatkan
diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan
doa-doanya.
▪
Kemudian bacaan ketiga pula serta diniatkan
minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
Namun jangan lupa agar kita membaca dengan penuh tenang
dan tidak terkejar-kejar.
Pada malam Nisfu Syaaban, telah datang Jibril kepada
Rasulullah s.a.w lalu katanya:
“Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan
Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang
tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di
dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.” (Al-Hadis)
PUASA
SUNAT DI BULAN SYAABAN
Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak
Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan
Syaaban.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3
hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat
untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh
puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati
syahid.”
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang
amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa
bulan Syaaban” (Al-Hadis)
1 hari berpuasa di bulan Syaaban akan mengharamkan
tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Yusof di dalam syurga,
dan diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.
Sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Syaaban,
dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut, dilepaskan kegelapan dalam kubur,
dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di
akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.
Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban
dan akhir Khamis di dalam Syaaban, dimasukkannya dalam syurga. (Hadis
Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah)
DOA,
ZIKIR & SELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W
Bulan ini juga kita digalakkan untuk membanyakkan doa,
zikir dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa
kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka
Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun
tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul
Wa’izhin)
BERTAUBAT
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia
berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan
perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan
umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah
menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)
Oleh itu, diharapkan agar kita dapat
bersama-sama memperbanyakkan amalan yang baik ini di bulan Syaaban. Banyak
fadhilat dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita, insyaAllah
Shared from Cahaya Purnama
No comments:
Post a Comment