Friday 20 January 2023

TIP UNTUK MEREBUT PELUANG BELAJAR DI LUAR NEGARA (Bahagian Pertama)

Salam kepada semua ikhwan,

"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya...?" Itu pesanan tok-nenek kita. BUKAN MUDAH...! BUKAN MURAH...! Semua orang ingin belajar di luar negara. Insyaallah, anda boleh menggapainya. Setidak-tidaknya sekali dlm seumur hidup. Bukan sekedar itu. Jikalau boleh, biarlah berbaloi dgn upaya yg digembeling, tujuan dan caranya. Maksudnya, ia sesuatu yg berprestij. Sesuatu yg menggambarkan prestasi kecemerlangan peribadi dlm pencapaian akademik. Bukan hanya belajar biasa-biasa dan selepas itu pulang dgn hanya sekeping sijil, diploma, sebiji BMW, sebiji Mercedes C200 terpakai, atau kelulusan murahan dari institusi yang murahan. 

Lebih buruk lagi kalau anda gagal mencapai sesuatu, pulang dgn tangan kosong. Kalau boleh, biarlah perjalanan itu menjadi salah-satu mercu tanda dlm kehidupan kita yg serba sementara ini. Suatu tanda yg jadi kebanggaan keluarga, bangsa, agama dan negara, InsyaAllah. Tiada yg mustahil dijangkau dlm gelanggang keilmuan, kecuali jika kita tidak berkemahuan...

Hari ini saya ingin kongsi segelintir dari puluhan tip yg boleh didapati di mana-mana: 

a. Keikhlasan pembelajaran:  Apa tujuan sebenar anda? Mahu belajar? Atau, mahu makan angin, "honeymoon" di bawah litupan salju, kegairahan musim runtuk atau keceriaan musim bunga? Tujuan anda perlu tepat dan jitu. Jika sekadar untuk berpelesiran di bumi bersalju, anda boleh lupakan semuanya. Keikhlasan perlu dicapai sebelum anda bercadang utk belajar di luar negara, lantaran kosnya terlalu tinggi dan dana biaya yg bakal anda terima ialah wang rakyat, termasuklah duit dari golongan B40..!! 

b. Keputusan yg tepat: Setiap keputusan perlu tepat, realistik, sejajar dgn keupayaan diri. Tidak membabi-buta tanpa mengambil-kira implikasi dari keputusan itu. Keputusan - samaada jangkapendek atau panjang, perlu teliti. Terperinci. Anda memilih utk belajar di Cambridge atau Stanford? Atau, cukup dgn universiti atau kolej "cap ayam" sahaja? Yg penting, senang "lulus", tak payah buat tesis berjela-jela, memadai dgn 3-4 conference paper sahaja sudah cukup utk dapat gelaran "Sarjana" atau "Doktor Falsafah"...? Adakah kolej yg dikenalpasti itu sesuai dgn bidang anda? Adakah kelulusan anda cukup baik utk ke sana? Adakah anda sudah "survey" dan berinteraksi dgn profesor-profesor yg berpotensi utk jadi penyelia anda? Adakah mereka berkelayakan? Wow, ada 1001 perkara perlu dikaji, dibanding, diputuskan sebelum anda memilih dan membuat keputusan.

c. Pilihan yg tepat:  Apa dia pilihan yg tepat? Tanpa pilihan yg tepat, keputusan juga akan tersasar dan sukar utk menjadi tepat. Biar saya kongsikan isu yg kerap berlegar dalam kepala dan minda kita. Persoalannya hampir serupa dgn yg di atas tadi: Nak sambung belajar diluar negeri atau memadai dlm negeri sahaja? Nak belajar bidang apa? Nak belajar kat mana? Universiti yg mana satu? Siapa nak biaya? Apa jenis biaya yg diperlukan? Bila? Apa? Bagaimana? Dan, pelbagai bentuk persoalan akan berleret-leret didalam tempurung kepala anda. Maka, tugas utama anda ialah membuat tapisan dan pilihan terbaik berasaskan segala maklumat yg ada. Setelah saringan dibuat, berbincanglah dgn pihak-pihak berkepentingan. Pilihan yg (hampir) baik masih belum menjamin keputusan yg tepat. Ini merupakan cabaran awal utk anda. Anda memilih berasaskan prioriti atau realiti? Tentu sukar utk dijawab, bukan? Anda perlu realistik. Mahu pergi ke Oxford atau Havard? Mana lebih "glamor"? Berpijaklah dibumi yg nyata...

d. Prestasi diri: Kaji prestasi diri terlebih dulu - samaada anda cukup layak dan berdisplin utk belajar di rantau orang. Atau, anda hanya akan membazir waktu, sumber dan wang rakyat? Bertanyalah pada diri sendiri - adakah anda punya kekuatan utk menempuh segala bentuk cabaran dan kepayahan yg sedang menanti didepan mata? Adakah anda cukup enthusiastic, beriltizam tinggi, sanggup mati kerananya..? Atau, anda sedang berilusi dgn upaya persediaan yg tak seberapa, mutu dan topik kajian yg murahan, sekedar utk penuhkan syarat, cepat selesai..?

e. Prestasi institusi pilihan:  Apabila anda memilih institusi atau universiti, pilihlah yg memiliki ranking terbaik dlm displin atau bidang kepakaran anda. Jangan ambil jalan mudah. Kaji terlebih dulu prestasi institusi-institusi yg bakal dipilih. Sebagai contoh, jika anda memilih utk ke Australia, pilihlah universiti yg terbaik di negara itu. Jgn bersikap sambil-lewa. Tiada guna belajar di seberang lautan jika kolej atau institusi yg dipilih adalah lebih rendah murtabat akademiknya berbanding di Malaysia. Juga, tiada munfaatnya belajar jauh-jauh jika kita memang sudah ada profesor, pakar-pakar yg kompeten utk menyelia penyelidikan sarjana atau PhD anda dan kita ada makmal yg canggih utk melakukan eksperimentasi. Lebih baik anda belajar dlm negeri sahaja daripada membazirkan duit negara..! 

f. Persediaan rapi: Mental, fizikal, spiritual termasuk logistik dan kewangan semua perlu tersedia serapi mungkin. Sijil-sijil kelulusan hendaklah "up-todate". Wawasan dan objektif dlm kepala juga up-todate. Pengetahuan am berhubung isu bidang yg ingin dipelajari/dikaji - itu tak usah tanya..! Ketahuilah - anda akan berdepan dgn ahli panel temuduga/penilai yg "memeranjatkan" jika anda tak bersedia.. Dlm konteks ini, persediaan ilmu dan kempetensi adalah paling penting. Pengetahuan di sekitar bidang yg ingin dikaji adalah termaklum..!

g. Perancangan terperinci: Terlalu mudah disebut. Tapi jarang dibuat orang. Akibatnya, bencana besar akan melanda. Sesetengah keputusan itu akan membabitkan kepentingan hidup dan mati. Jadi, jika anda malas merancang, anda sekedar menempah kematian (atau kegagalan..). Belajar keluar negara memerlukan perancangan yg kemas dan cukup terperinci. Anda akan belajar di sana selama 3-4 atau 5 tahun. Jangka waktu ini (sebenarnya) terlalu panjang. Saya tidak bercakap soal emosi tetapi soal kos sara hidup dan biaya lain di sepanjang jangka masa pembelajaran tersebut. Anda boleh belajar selama seribu tahun jika anda dibiaya selama seribu tahun. Tetapi jika anda hanya dibiaya selama 4 tahun misalnya, tentukan anda akan selesai belajar dlm waktu 40 bulan dan 8 bulan yg selebihnya ialah utk kontigensi (darurat). Dgn cara ini, insyaAllah, anda mungkin dapat selesaikan pengajian dlm tempoh yg ditetapkan (atau "graduate-on-time"..). Jadual pembelajaran yg terperinci adalah mandatori. Meskipun masih dlm peringkat permohonan biasiswa, tidak bermaksud anda tidak perlu merancang sesuatu...Jadikan "perancangan" sebagai budaya dlm diri anda..

h. Wawasan yg mantap: Adakah anda pergi belajar utk "glamor" bagai seorang selebriti? Jika itulah wawasannya, baik lupakan saja. Benar, mungkin ada segelintir selebriti berjaya mendapat PhD (sesuai dgn bidang kerjaya periuk-nasi mereka..), tetapi anda sebagai guru/pengajar/jurulatih/pensyarah/ahli akademik yg profesional wajar melupakan "dunia glamor" yg tidak menjanjikan sebarang pulangan yg positif kepada masyarakat dlm jangkapanjang (kecuali jika anda memang ingin jadi selebritis..!). Maka, wawasan yg jitu adalah perlu. Keikhlasan pembelajaran adalah asas kpd wawasan yg positif. Anda belajar keluar negara dgn wawasan utk menyumbang kpd agama, bangsa, negara dan dunia dgn lebih berkesan, holistik dan tersebar berbanding sebelumnya..!

Saya akan sambung di hari yg lain...Insyaallah.

Nota: Saya berbicara dlm kontek jika anda merancang utk memohon tajaan belajar luar negara di bawah mana-mana agensi kerajaan, universiti awam, institusi atau organisasi quasi. Tetapi jika anda terbiaya dgn duit-poket sendiri, tips ini mungkin kurang relevan utk anda. InsyaAllah, moga tips ringkas ini bermunafaat buat semua pembaca...! Wassalam

No comments:

Post a Comment